UCAPAN DAN AMANAT DARIPADA PENGERUSI MBJ PIHAK PEKERJA 2013-2015

 

 

Jabatan Bendahari Negeri Sabah

Salam Sejahtera Dan salam satu Jabatan kepada semua warga JBNS,

Kewujudan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) merupakan satu platform dua hala diantara pihak pekerja dan pihak pengurusan yang bertujuan untuk memperolehi kerjasama yang menyeluruh di antara pihak Pegawai dan Pihak Pekerja di dalam sesebuah organisasi, yang mana Pihak Pekerja diberi peluang untuk mengemukakan pendapat dan mengambil bahagian secara aktif dalam membincangkan dan menyelesaikan isu berkaitan kerja, urusan pentadbiran, kebajikan pekerja dan perjalanan organisasi sesebuah jabatan.

Sehubungan dengan itu, MBJ juga berperanan untuk membantu pihak pengurusan bagi menyelesaikan isu-isu dalaman yang dihadapi oleh warga JBNS merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat perkhidmatan dan perjalanan organisasi yang ada hubungkait dengan pentadbiran. Selain bertindak sebagai pemudahcara antara kakitangan dan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan amanah serta penuh dedikasi, semua ahli MBJ juga digalakkan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan dan berkongsi idea dalam mencari penyelesaian terhadap sebarang isu yang dikemukakan dengan syarat perbincangan tersebut hendaklah ditumpukan kepada perkara-perkara yang melibatkan masalah bersama tanpa membelakangi Perlembangaan MBJ.

Di atas tanggungjawab itulah, seramai 18 orang ahli yang merangkumi pelbagai Skim Perkhidmatan yang wujud di Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS)telah dilantik untuk menjadi ahli MBJ bagi sesi 2013/2015. Ahli-ahli tersebut hendaklah memainkan peranan yang efektif tentang bagaimana cara yang terbaik untuk berurusan dengan pihak pengurusan tanpa mengetepikan suara pihak pekerja. Tanggungjawab yang diberikan wajib dilaksanakan dengan penuh amanah serta bersungguh-sungguh agar segala kesulitan kakitangan dapat diselesaikan dengan penuh berhikmah dan berhemah.

Maka dengan ini, adalah diharapkan agar semua kakitangan dalam jabatan dapat memanfaatkan forum ini bagi kepentingan bersama dan juga jabatan secara amnya ke arah memperkasakan lagi penyampaian perkhidmatan awam.

Sekian, terima kasih


Pengerusi MBJ Pihak Pekerja 2013-2015